Posted by: Energizer | June 18, 2009

Cerita Lalu…

Sekadar ingin berkongsi cerita dulu…time kt tampin…hehe

  • Hatiku begitu pilu apabila melihat keadaan seorang warga tua yang menetap di Kg Tampin Tengah. Bukan sahaja ditinggalkan anak-anak, malah tidak diberi sedikit pun wang bantuan untuk si ibu itu menyara kos tanggunggan sehariannya. Si ibu itu hanya mengharap kepada duit yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepadanya. Dengan daya yang sangat terhad berserta bantuan pihak kedua, si ibu tersebut hanya mampu untuk berjalan dari biliknya ke ruang tamu. Perkataan yang keluar dari mulutnya sudah tidak begitu jelas didengar. Sendi-sendi yang menyokong pergerakannya kini sudah tenat dan kering. Dia sudah tidak berdaya untuk berdiri betul dan tidak mampu untuk menguruskan hal-hal di dalam rumahnya. Namun, aku hairan melihat rumahnya yang agak terurus.
  • Aku bersama rakan-rakan sebaya sedang menjalankan kajian mengenai pesakit kencing manis (diabetes) di daerah Tampin Tengah. Kami berkunjung ke beberapa rumah untuk menemu ramah pesakit-pesakit yang telah dipilih secara rawak (randomized sample). Kebetulan pada hari itu, kami ditakdirkan bertemu dengan si ibu ini di rumahnya. Setelah meminta izin, kami masuk ke dalam rumahnya dan memperkenalkan diri. Syukurlah raut wajahnya mengukir senyuman menerima kehadiran kami.
  • Sejurus kemudian, aku terserempak dengan seorang wanita berbangsa India, turut mempelawa kami masuk ke dalam rumah tersebut. Sekarang aku menjadi makin bingung. Setelah berbual dengan wanita tersebut, barulah persoalan-persoalan di dalam benak fikiranku terjawab. Wanita India terrsebut merupakan jiran si ibu itu, juga merupakan penjaga si ibu itu sejak 10 tahun yang lalu. Seorang yang berbangsa India sanggup menghabiskan waktunya menemani si ibu tersebut, serta menguruskan hal-hal kehidupannya. Dialah yang membawa si ibu itu ke klinik, dialah yang memasak, dialah yang memimpin si ibu itu ke mana-mana, dan dia jugalah yang menenteramkan hati si ibu itu apabila terluka oleh sikap anak-anaknya. Sangat mengecewakan apabila aku mendapati si ibu tersebut mempunyai lapan orang anak. Seorang yang bukan Islam mempunyai budi bahasa dan akhlak lebih tinggi berbanding dengan lapan orang anak yang digelar ‘hantu’ oleh si ibu tersebut.
  • Wanita India tersebut mempunyai seorang suami yang merupakan seorang petani. Dia juga sangat mengambil berat tentang keadaan si ibu itu. Dialah yang meminta isterinya untuk berhenti bekerja semata-mata untuk menjaga si ibu itu. Sedangkan lapan orang anak itu selalu menolak sesama sendiri siapa yang akan menjaga ibu tersebut, semata-mata untuk mencapai kejayaan dalam karier mereka. Sudah berkali-kali wanita India tersebut menelefon mereka kerana si ibu itu ingin dibawa pulang bersama anak-anak, namun tiada seorang pun yang sudi membawanya pulang. Ketika kami cuba menemu ramah si ibu itu, dia kadang-kadang mengadu sakit leher, dan kadang-kadang menangis di hadapan kami. Sedih dan pilunya dapat kami rasakan kerana kami juga mempunyai seorang wanita istimewa bergelar ibu.
  • Dengan keadaannya yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes) dan darah tinggi (hypertension), si ibu itu terdedah kepada banyak risiko yang boleh menyebabkan keadaannya menjadi semakin teruk. Wanita India tersebut selalu menasihatinya untuk mengambil ubat, namun, si ibu itu tidak mahu mengikutinya. Apakah daya seorang jiran yang bukan anak kandung si ibu itu untuk memaksanya memakan ubat? Si ibu sering mengadu sakit kepala kerana selalu memikirkan tentang sikap-sikap anak-anaknya. Tentu sangat tersiksa jiwa dan raganya.
  • Aku teringat segala jasa-jasa yang telah dicurahkan ibuku sejak dari aku berada di dalam kandungannya sehingga kini. Aku masih tidak dapat menerima fakta ada anak yang sanggup meninggalkan ibu mereka. Aku menutup mata kerana tidak dapat menahan linangan air mata yang sudah lama tidak membasahi kelopak mataku. “Ya Allah, ampunilah segala dosa ibu dan bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil lagi. Jadikanlah diriku anak yang soleh serta anak yang mentaati perintahMu sehingga akhir hayatku. Sesungguhnya Kaulah yang menetapkan segala-galanya terhadap diriku. Lindungilah mereka yang memerlukan kasih dan sayangMu.”
Posted by: Energizer | March 28, 2009

Kelebihan bertaubat

Antara kelebihan beristighfar dan bertaubat yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya at-Taubat Ilallah adalah:

  • Disayangi Allah
  • Didoakan oleh para Malaikat
  • Diampunkan oleh Allah
  • Diberikan pelepasan daripada segala masalah
  • Dimurahkan rezekinya
  • Ditinggikan kedudukannya di sisi Allah
  • Bertaubat adalah ciri orang beriman

(dipetik daripada buku 101 Doa karangan Ust Zahazan Mohamed)

Jadi jangan berlengah lagi untuk bertaubat. Segeralah mencari keredhaanNya selagi nyawa di kandung badan.

Posted by: Energizer | March 28, 2009

Surat Cinta untuk siapa yang mengerti

  • Sudah hampir lima tahun kita berkenalan, bermula di awal penubuhan program pra-universiti di tempat belajar kita. Sejak dari dulu lagi aku memerhatikan pola perkembangan setiap dari kalian, dari segi perwatakan fizikal dan mental. Ada yang makin mengembang, ada yang makin menyusut, ada yang makin matang, ada yang makin kebudak-budakan, dan ada yang tidak berubah sama sekali. Namun, aku cukup bersyukur kerana dikurniakan kalian sebagai teman sekuliahku. Kita banyak menghabiskan masa berdiskusi dan bermuraja’ah tentang pelajaran, berkongsi pengalaman pahit dan manis sebagai perintis fakulti, berseronok dan bertelingkah sesama sendiri, dan banyak lagi. Kumpulan kita juga pernah dan masih lagi dianggap sebagai ‘the best’ atau ‘the cream of the cream’. Mungkin ia benar dan mungkin juga ia hanya retorik semata-mata.
  • Dengan itu, izinkan aku menyatakan kasih dan sayangku pada kalian. Apabila aku menyusuri perkembangan rohaniah dalam kumpulan kita, aku mendapati perkembangan yang positif berlaku pada dua tahun awalan perkenalan kita. Selepas itu, aku mendapati penonjolan sahsiah dan nilai akhlak Islamiyah di kalangan kita sudah semakin pudar dan hampir-hampir berada dalam tahap kritikal. Adakah kalian masih ingat budaya memberi tazkirah yang kita amalkan dahulu? Ada individu yang datang mengajak kita memikirkan kebesaran Ilahi, ada juga yang mengajak kita untuk pergi ke masjid. Kini, budaya tersebut semakin tidak dapat kulihat. Kita lebih banyak bersembang perkara-perkara lagha yang mungkin membawa kepada kebaikan, tetapi yang pastinya ia lebih banyak mengundang murka Allah. Kita lebih banyak ketawa bersama berbanding muhasabah bersama-sama.
  • Dalam penggunaan masa seharian, aku lihat kebanyakan dari kita lebih gemar memahami isi cerita yang dibawa oleh Barat atau Timur berbanding memahami isi al-Quran yang dibawa oleh individu yang kita paling kasih, Muhammad saw. Ada di antara kita yang pernah berkata kepadaku, kita perlu mengetahui sesuatu kejahatan untuk menjauhinya. Aku amat menyokong kata-kata tersebut, namun sejauh manakah kita harus mengetahuinya? Adakah kita yakin dengan melihat sesuatu perkara kejahatan atau terlibat di dalamnya membolehkan kita menjauhkan diri daripadanya? Mungkin YA dan mungkin juga TIDAK. Adakah ulama’ atau tokoh-tokoh yang berjaya menegakkan Islam dahulu perlu menonton filem-filem atau cerita-cerita sedemikian untuk berjaya? Tidak takutkah kalian jika yang dilihat itu merupakan perkara-perkara yang haram untuk dilihat? Adakah ini yang disarankan kepada pemuda-pemudi yang memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini?
  • Kita hidup di dunia ini ada matlamat tersendiri, iaitu untuk mencapai redha Allah. Kita mengharapkan pertemuan dengan Rabbul Jalil di hari akhirat dengan muka yang berseri-seri, bukan dengan muka yang hitam seperti arang. Kita tidak perlu menunggu hari mendapat hidayah untuk membaiki kesilapan, kerana kalian yang perlu mengubah diri sendiri. Jika tidak sekarang bila lagi? Kematian seseorang tidak dapat dicepatkan sesaat mahupun dilewatkan sesaat. Mahukah kita dijemput malaikat ‘Izrail dalam keadaan kita sedang lalai? Tidak, kalian semua tentu rindukan syahid di jalanNya kerana kalian merupakan orang yang beriman. Hidup kita hanya untuk beribadah dan mengabdikan diri pada Allah, kerana itu, pastikan setiap perkara yang kita lakukan adalah berlandaskan syari’at dan ikhlas keranaNya. Moga ia akan dikira sebagai ibadah. Begitulah keindahan dalam Islam, kita mengikut peraturan yang ditetapkanNya, dan ganjaran syurga akan dibayar sebagai gantinya. Sesungguhnya, berjuang itu memang pahit, kerana syurga itu manis dan tinggi harganya.
  • Aku bukanlah orang yang terbaik untuk memberi peringatan ini, aku bukan seorang yang pandai berpidato atau berdebat, aku tidak mampu untuk memberikan pengaruh yang besar dan aku bukanlah seorang yang sempurna. Namun, jika kita ingin menunggu semua orang sempurna, tiada siapa yang layak untuk memberi peringatan. Aku hanya teman kalian yang melontarkan rasa hatiku dalam penulisan ini. Tegurlah diriku, jika kalian mendapati aku di dalam kelalaian atau kesesatan. Mungkin inilah saat terakhirku untuk memberi peringatan. Jadi aku cuba yang terbaik. Bersama-sama kita memperbaiki diri, menjadi lebih baik dari semalam. Saudara-saudara kita mengharapkan kita menuntut ilmu dengan sebaik-baiknya, menjadi professional yang boleh menyumbang ke arah menaikkan kembali kegemilangan Islam. Allah matlamat kami, al-Quran panduan kami, Rasulullah ikutan kami, Jihad jalan kami, Mati Syahid harapan tertinggi kami. Wallahua’lam.

Posted by: Energizer | March 17, 2009

World = Dunia

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (al-Hadid:20)
How do we perceive the life in this world?
We have to strive for these things…
“Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai karunia yang besar” (al-Hadid:21)
Reminders to all..heh

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.