Posted by: Energizer | June 18, 2009

Cerita Lalu…

Sekadar ingin berkongsi cerita dulu…time kt tampin…hehe

  • Hatiku begitu pilu apabila melihat keadaan seorang warga tua yang menetap di Kg Tampin Tengah. Bukan sahaja ditinggalkan anak-anak, malah tidak diberi sedikit pun wang bantuan untuk si ibu itu menyara kos tanggunggan sehariannya. Si ibu itu hanya mengharap kepada duit yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepadanya. Dengan daya yang sangat terhad berserta bantuan pihak kedua, si ibu tersebut hanya mampu untuk berjalan dari biliknya ke ruang tamu. Perkataan yang keluar dari mulutnya sudah tidak begitu jelas didengar. Sendi-sendi yang menyokong pergerakannya kini sudah tenat dan kering. Dia sudah tidak berdaya untuk berdiri betul dan tidak mampu untuk menguruskan hal-hal di dalam rumahnya. Namun, aku hairan melihat rumahnya yang agak terurus.
  • Aku bersama rakan-rakan sebaya sedang menjalankan kajian mengenai pesakit kencing manis (diabetes) di daerah Tampin Tengah. Kami berkunjung ke beberapa rumah untuk menemu ramah pesakit-pesakit yang telah dipilih secara rawak (randomized sample). Kebetulan pada hari itu, kami ditakdirkan bertemu dengan si ibu ini di rumahnya. Setelah meminta izin, kami masuk ke dalam rumahnya dan memperkenalkan diri. Syukurlah raut wajahnya mengukir senyuman menerima kehadiran kami.
  • Sejurus kemudian, aku terserempak dengan seorang wanita berbangsa India, turut mempelawa kami masuk ke dalam rumah tersebut. Sekarang aku menjadi makin bingung. Setelah berbual dengan wanita tersebut, barulah persoalan-persoalan di dalam benak fikiranku terjawab. Wanita India terrsebut merupakan jiran si ibu itu, juga merupakan penjaga si ibu itu sejak 10 tahun yang lalu. Seorang yang berbangsa India sanggup menghabiskan waktunya menemani si ibu tersebut, serta menguruskan hal-hal kehidupannya. Dialah yang membawa si ibu itu ke klinik, dialah yang memasak, dialah yang memimpin si ibu itu ke mana-mana, dan dia jugalah yang menenteramkan hati si ibu itu apabila terluka oleh sikap anak-anaknya. Sangat mengecewakan apabila aku mendapati si ibu tersebut mempunyai lapan orang anak. Seorang yang bukan Islam mempunyai budi bahasa dan akhlak lebih tinggi berbanding dengan lapan orang anak yang digelar ‘hantu’ oleh si ibu tersebut.
  • Wanita India tersebut mempunyai seorang suami yang merupakan seorang petani. Dia juga sangat mengambil berat tentang keadaan si ibu itu. Dialah yang meminta isterinya untuk berhenti bekerja semata-mata untuk menjaga si ibu itu. Sedangkan lapan orang anak itu selalu menolak sesama sendiri siapa yang akan menjaga ibu tersebut, semata-mata untuk mencapai kejayaan dalam karier mereka. Sudah berkali-kali wanita India tersebut menelefon mereka kerana si ibu itu ingin dibawa pulang bersama anak-anak, namun tiada seorang pun yang sudi membawanya pulang. Ketika kami cuba menemu ramah si ibu itu, dia kadang-kadang mengadu sakit leher, dan kadang-kadang menangis di hadapan kami. Sedih dan pilunya dapat kami rasakan kerana kami juga mempunyai seorang wanita istimewa bergelar ibu.
  • Dengan keadaannya yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes) dan darah tinggi (hypertension), si ibu itu terdedah kepada banyak risiko yang boleh menyebabkan keadaannya menjadi semakin teruk. Wanita India tersebut selalu menasihatinya untuk mengambil ubat, namun, si ibu itu tidak mahu mengikutinya. Apakah daya seorang jiran yang bukan anak kandung si ibu itu untuk memaksanya memakan ubat? Si ibu sering mengadu sakit kepala kerana selalu memikirkan tentang sikap-sikap anak-anaknya. Tentu sangat tersiksa jiwa dan raganya.
  • Aku teringat segala jasa-jasa yang telah dicurahkan ibuku sejak dari aku berada di dalam kandungannya sehingga kini. Aku masih tidak dapat menerima fakta ada anak yang sanggup meninggalkan ibu mereka. Aku menutup mata kerana tidak dapat menahan linangan air mata yang sudah lama tidak membasahi kelopak mataku. “Ya Allah, ampunilah segala dosa ibu dan bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil lagi. Jadikanlah diriku anak yang soleh serta anak yang mentaati perintahMu sehingga akhir hayatku. Sesungguhnya Kaulah yang menetapkan segala-galanya terhadap diriku. Lindungilah mereka yang memerlukan kasih dan sayangMu.”

Leave a comment

Categories